RANTAU PANJANG – Benteng Projek Pembangunan Lembangan Sungai Bersepadu (PLSB) Sungai Golok di Kampung Lanchang di sini pecah selebar 20 meter sejak pagi semalam.
Kejadian tersebut berlaku akibat arus deras Sungai Golok sekali gus menyebabkan beberapa kawasan di Meranti, Gelang Mas di Pasir Mas dan Pengkalan Kubor, Tumpat mula ditenggelami banjir.
Pemangku Pengarah Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Kelantan, Marinamarican Abdullah berkata, setakat ini, pihaknya masih belum dapat ke lokasi tersebut memandangkan arus masih deras.
Menurutnya, benteng yang pecah pagi semalam itu ekoran peningkatan paras air Sungai Golok yang tinggi iaitu 11.03 meter (m)
“Benteng berkenaan dibina dengan ketinggian 10 m. Setakat ini, kita hanya melihat benteng itu menerusi video yang tular,” katanya.
Terdahulu, tular satu video yang memaparkan benteng PLSB Sungai Golok pecah dipercayai akibat arus deras.
Sementara itu, seorang penduduk di Rantau Panjang, Nasran Nasuha ketika dihubungi berkata, paras air Sungai Golok semakin menurun sejak semalam.
Katanya, setakat pukul 4 pagi tadi, bacaan air di sungai berada pada tahap 10.68 berbanding 11.03 m semalam.
Kosmo! sebelum ini melaporkan, Ahli Jawatankuasa Bertindak Banjir Rantau Panjang, Mohd. Ariffin Ismail berkata, penduduk yang terkesan banjir mendesak kerajaan mewujudkan lebih banyak terowong air di projek PLSB Sungai Golok, di sini bagi mengatasi masalah banjir termenung.
Katanya, langkah mewujudkan lebih banyak terowong dilihat mampu mengurangkan kesan banjir yang terpaksa dihadapi oleh 10 buah kampung sementara projek itu siap sepenuhnya. – KOSMO! ONLINE