IPOH – Pengerusi Persatuan Pasukan Keselamatan Rakyat Setia Berjasa Sukarela Negeri Perak mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret di sini hari ini atas pertuduhan menggunakan gelaran ‘Datuk Seri’ yang tidak diiktiraf, Oktober lalu.
Tertuduh, Saiful Sharma Abdullah, 52, membuat pengakuan tersebut selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan jurubahasa di hadapan Majistret S. Punitha.
Mengikut pertuduhan, lelaki yang juga seorang duda itu didakwa sebagai seorang yang tidak berhak untuk menggunakan dan menikmati gelaran dan panggilan ‘Datuk Seri’ telah dengan sengaja menggunakan dan menikmati gelaran tersebut pada surat memohon kelulusan untuk menganjurkan Majlis Ulang Tahun ke-9 Persatuan Pasukan Keselamatan Rakyat Setia Berjasa Sukarela Negeri Perak.
Tertuduh didakwa melakukan kesalahan tersebut di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ipoh di Jalan Panglima Bukit Gantang Wahab di dalam daerah Ipoh pada 31 Oktober 2023.
Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya, Amirah Nabihan Shahrir menawarkan jaminan sebanyak RM5,000 dengan seorang penjamin namun Teeban Kummar yang mewakili tertuduh memohon jumlah jaminan minimum atas alasan anak guamnya menghidap penyakit kronik dengan pendapatan bulanan sebanyak RM1,000.
Mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin RM2,500 dengan dua orang penjamin dan menetapkan 28 Februari depan untuk sebutan semula kes bagi serahan dokumen. – KOSMO! ONLINE