fbpx

90 peratus kawasan di Rantau Panjang terjejas banjir

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Penduduk menaiki sebuah lori untuk bergerak ke kawasan-kawasan kampung di sekitar pekan Rantau Panjang semalam. FOTO KAMARUL BISMI KAMARUZAMAN/ KOSMO!

RANTAU PANJANG – Kira-kira 90 peratus kawasan di Rantau Panjang dinaiki air akibat terjejas banjir gelombang ketiga yang melanda kebanyakan kawasan di Kelantan sejak Sabtu lalu.

Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) Kelantan, Zainal Madasin berkata, berdasarkan situasi di Rantau Panjang ketika ini, beberapa kawasan lain terutamanya Pasir Mas dan Pengkalan Kubor, Tumpat juga dijangka akan terjejas banjir selepas ini.

Menurutnya, keadaan banjir di Rantau Panjang masih dalam pemantauan dan kawalan untuk memastikan penduduk di kawasan tersebut selamat.

“Hampir 90 peratus kawasan Rantau Panjang dinaiki air beberapa hari lalu. Kita menjangkakan kawasan lain akan berisiko untuk banjir selepas ini iaitu Pasir Mas dan Pengkalan Kubor.

“Saya ambil maklum dan bimbang dengan keadaan di Rantau Panjang kerana ia merupakan kawasan perdagangan dan laluan orang Malaysia ke Thailand. Jadi, banyak kemungkinan risiko berlaku di sini,” katanya pada sidang di depan Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin Keselamatan (ICQS) di sini semalam.

Terdahulu, Zainal bersama pegawai dan anggota bomba melakukan pemantauan di kawasan-kawasan yang terjejas banjir di Rantau Panjang.

Mengulas lanjut, Zainal memberitahu, meskipun terjejas akibat banjir, Rantau Panjang masih selamat dan keadaan di kawasan itu semakin baik sejak semalam.

Menurutnya, jika cuaca baik tanpa hujan lebat berterusan, banjir dijangka akan surut dalam tempoh terdekat

“Paras air Sungai Golok juga semakin menurun sekali gus akan menyebabkan banjir di kawasan ini surut. Mungkin ia akan mengambil sedikit masa kerana banyak kawasan di Rantau Panjang terjejas kali ini,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI