PETALING JAYA – Seorang pengawal keselamatan sebuah bank tidak sengaja tertarik picu sehingga melepaskan satu das tembakan dalam satu kejadian di Kota Damansara, di sini, pagi semalam.
Bagaimanapun, kejadian yang berlaku kira-kira pukul 10.13 pagi itu tidak melibatkan sebarang kemalangan jiwa.
Timbalan Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Superintendan M. Hussin Sollehuddin Zolkifly berkata, pada awal kejadian pihaknya menerima maklumat daripada orang awam yang terdengar bunyi tembakan.
Ujarnya, sepasukan polis digerakkan ke sebuah institusi kewangan di Jalan PJU 5/14, Kota Damansara, disini dan mendapati seorang pengawal keselamatan telah melepaskan tembakan.
“Hasil siasatan yang dijalankan, pengawal keselamatan berusia 50-an tidak sengaja menarik picu sehingga senjata jenis ‘pump gun’ melepaskan satu das tembakan ke arah lantai.
“Tindakan itu menyebabkan cermin di pintu masuk pecah. Namun tidak melibatkan sebarang kemalangan jiwa. Ujian saringan air kencing mendapati keputusan adalah negatif,” katanya dalam kenyataan malam semalam.
Tambah M. Hussin, kes disiasat di bawah Seksyen 39 Akta Senjata 1960.
“Orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat berkenaan kes ini boleh menghubungi bilik gerakan Ibu Pejabat Polis Daerah Petaling Jaya di talian 03-79662222,” katanya. – KOSMO! ONLINE