MANCHESTER – Manchester United akhirnya menamatkan empat perlawanan tanpa kemenangan dengan menewaskan Aston Villa 3-2 pada aksi Liga Perdana Inggeris (EPL) di Stadium Old Trafford awal pagi tadi.
Kemenangan itu tidak diraih dengan mudah apabila The Red Devils terpaksa ketinggalan dua gol terlebih dahulu kepada Villa dalam tempoh lima minit hasil jaringan John McGinn dan Leander Dendocker pada minit ke-21 serta 26.
Bagaimanapun, United yang masih segar dengan kehadiran pemilik baharu, Sir Jim Ratcliffe membuktikan kebangkitan sebenar mereka dengan meledak tiga gol untuk merakam tiga mata berharga dalam aksi itu.
Tiga gol tersebut berjaya diperoleh menerusi dua jaringan Alejandro Garnacho pada minit ke-59 dan 71 serta satu daripada Rasmus Hojlund pada minit ke-82.
Menariknya, ia adalah jaringan pertama Hojlund dalam kempen EPL musim ini sejak berhijrah menyertai United dari Atalanta pada Julai lalu menerusi yuran perpindahan keseluruhan bernilai £72 juta (RM424.44 juta).
Kemenangan itu melonjakkan skuad bimbingan Erik Ten Hag tersebut ke tangga keenam dengan 31 mata selepas mengharungi 19 perlawanan EPL setakat ini.
United selepas ini akan meneruskan aksi menentang Nottingham Forest yang berjaya menewaskan Newcastle United 3-1 menerusi ledakan hatrik Chris Wood semalam, pada 31 Disember ini. – AGENSI