SIK – Seorang lelaki berubah sikap apabila banyak mendiamkan diri dan kurang ceria sebelum maut akibat ditimpa dahan pokok durian di Kampung Lubuk Besar Hujung Bandar, di sini semalam.
Dalam kejadian pukul 6.30 petang itu, mangsa, Othman Kasim, 47, disahkan meninggal dunia di lokasi akibat parah di kepala.
Ketua kampung, Mohd Faizal Aziz, 42, berkata, kejadian berlaku ketika mangsa bergotong-royong menebang tiga pokok bersama 10 penduduk.
“Dua pokok mempelam kami tebang pada awalnya dan tinggal sebatang lagi iaitu pokok terap.
“Ketika menarik pokok terap, ia turut menarik pokok durian yang berada di tepinya. Kami tidak menyangka ia akan tumbang sekali,” katanya di sini hari ini.
Jelasnya, penduduk lain sempat menyelamatkan diri, namun mangsa yang terjatuh tidak sempat bangun menyebabkan dahan pokok durian itu menghempapnya.
Tambah lelaki itu, arwah Othman dilihat banyak mendiamkan diri dan tidak ceria ketika menebang pokok di kawasan surau pagi semalam.
“Petang semalam dia hanya duduk menyendiri berhampiran pokok terap dan melihat kawan-kawan mengikat pokok yang hendak ditebang itu,” katanya.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Sik, Deputi Superintendan Abdull Razak Osman berkata, tiada sebarang unsur jenayah dalam kematian mangsa dan kes diklasifikasi sebagai mati mengejut. – KOSMO! ONLINE