PETALING JAYA – Jabatan Meteorologi (MetMalaysia) meramalkan luruan monsun berlaku sehingga esok, berdasarkan analisis model-model cuaca.
Menerusi kenyataan di laman sesawangnya hari ini, MetMalaysia berkata keadaan itu berpotensi membawa hujan lebat berterusan di timur Semenanjung dan angin kencang serta laut bergelora di Laut China Selatan dalam tempoh berkenaan.
“Sementara itu, di negeri-negeri lain, ribut petir berserta hujan lebat dan angin kencang berpotensi berlaku pada sebelah petang hingga ke malam.
“MetMalaysia juga telah mengemas kini amaran hujan berterusan (waspada) yang melibatkan Terengganu, Pahang dan Johor serta amaran angin kencang dan laut bergelora berkuat kuasa sehingga esok (27 Disember),” katanya.
Ujarnya, orang awam juga dinasihatkan untuk sentiasa merujuk www.met.gov.my dan media sosial rasmi MetMalaysia serta memuat turun aplikasi myCuaca bagi maklumat yang terkini dan sahih.
Terdahulu MetMalaysia mengeluarkan amaran hujan berterusan tahap waspada di Terengganu, Pahang dan Johor sehingga esok.
MetMalaysia menerusi kenyataan di laman sesawangnya hari ini berkata, kawasan yang terlibat di Terengganu adalah Dungun dan Kemaman.
“Di Pahang, kawasan yang terlibat adalah Jerantut, Kuantan, Pekan dan Rompin manakala Johor pula adalah Segamat, Mersing dan Kota Tinggi,” katanya. – KOSMO! ONLINE