MANCHESTER – Pemilik baharu Manchester United, Sir Jim Ratcliffe tidak boleh berlengah dan perlu segera menyelesaikan masalah dalaman pasukan itu sekiranya mahu kembali digeruni di England dan Eropah.
Bilionair berusia 71 tahun itu bersetuju membeli 25 peratus saham United dengan pelaburan berjumlah £1.3 bilion (RM5.88 bilion), sekali gus mengambil alih operasi bola sepak di Old Trafford.
Langkah awal perlu diambil Pengerusi INEOS itu adalah memperkuatkan The Red Devils dengan bergiat aktif dalam pasaran perpindahan bulan depan sama ada merekrut muka baharu atau menjual pemain lama.
Sekarang adalah waktu terbaik buat Ratcliffe menyelesaikan masalah melibatkan pemain-pemain ‘buangan’ seperti Jadon Sancho yang sudah dipinggirkan selama empat bulan oleh pengurus United, Erik Ten Hag.
Selain Sancho, isu membabitkan pemain-pemain dengan gaji mingguan yang tinggi seperti Raphael Varane yang menerima £340,000 (RM1.99 juta), Casemiro dan beberapa nama lain antaranya Antony, Anthony Martial serta Marcus Rashford.
Pengambilalihan itu tidak bermakna masa depan Ten Hag selamat jika pengendali berusia 53 tahun itu terus merekodkan keputusan buruk kerana tidak mustahil beliau juga bakal ditunjukkan jalan keluar selepas ini.
Kem Ratcliffe juga tidak boleh mengambil mudah masalah di Old Trafford daripada bumbung bocor sehinggalah kebersihan makanan yang diberikan rating satu per lima kerana menyediakan ayam mentah.
Dalam masa sama, Ratcliffe juga sudah berjanji menambah £240 juta (RM1.41 bilion) untuk menaik taraf Old Trafford dan padang latihan Carrington yang dianggarkan mampu memakan kos hampir £1 bilion (RM5.88 bilion) bagi pembangunan semula.
Bagaimanapun, legenda United, Gary Neville merasakan pelaburan Ratcliffe diumumkan pada waktu yang kurang tepat walaupun bekas tonggak pertahanan itu tetap berharap perubahan pasukan dapat dilakukan dalam kadar segera.
“Selamat maju jaya dan saya berharap beliau dapat mencari jalan memulihkan kelab ini ke tempat sebenar dan dihormati di dalam dan luar padang,” katanya. – AGENSI