fbpx

Skuad Harimau Malaya B-23 tewas bermaruah

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Penyerang negara, Aliff Izwan Yuslan (tengah) meraikan jaringan yang dilakukan ke atas China B-23 hari ini. - Foto ihsan FAM

PETALING JAYA – Skuad bawah 23 tahun (B-23) negara menerima pengajaran berguna selepas tewas 1-2 pada aksi persahabatan antarabangsa bertemu China B-23 di Stadium Jinshan, Shanghai sebentar tadi.

Pada aksi tersebut, pengendali skuad muda kebangsaan, Juan Torres Garrido mengambil keputusan untuk merombak kesebelasan utama dengan merehatkan beberapa tonggak penting seperti Mukhairi Ajmal, Umar Hakeem dan T. Saravanan.

Pasukan tuan rumah yang turun dengan misi membalas dendam pula meletakkan kesebelasan terbaik dengan pemain seperti Du Yuesheng, Baihelamu Abduduwaili dan Tao Qianglong mengetuai jentera serangan.

Skuad Naga ternyata lebih bersedia untuk mengharungi aksi kali ini apabila Yuesheng bijak menanduk masuk gol pembukaan seawal minit ke-5 perlawanan.

Tersentak dengan gol tersebut, pasukan muda Harimau Malaya memperkemaskan jentera serangan dan berjaya melakukan beberapa siri serangan hasil gerakan penyerang utama, Aliff Izwan Yuslan.

Usaha Aliff Izwan yang juga penyerang muda Selangor FC membuahkan hasil apabila menyamakan kedudukan 1-1 selepas menyudahkan peluang keemasan pada minit ke-34.

Namun, penggempur berusia berusia 19 tahun itu menjadi duri dalam daging buat skuad negara selepas dilihat tidak berdisiplin sehingga dilayangkan kad kuning kedua sekali gus diarahkan keluar padang berselang empat minit kemudian.

Kesempatan itu digunakan oleh China yang kembali mendahului saingan hasil ledakan Qianglong yang juga kapten pasukan sebelum babak pertama berakhir.

Bersambung pada separuh masa kedua, China dilihat mendominasi perlawanan dengan Malaysia bermain dengan 10 pemain berjaya kekalkan kedudukan 2-1 sehingga wisel penamat ditiupkan.

Ini adalah aksi persahabatan kedua antara kedua-dua pasukan dengan Malaysia berjaya tewaskan China 1-0 pada perlawanan pertama di venue sama, Sabtu lepas.

Skuad muda Harimau Malaya kini dalam fasa persiapan sebelum mengharungi kempen Piala Asia B-23 2024 yang dijadualkan berlangsung di Qatar pada April depan. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI