BEIJING – Seorang lelaki di Beijing, China menuntut jirannya memindahkan sebuah replika dinosaur setinggi 15 meter yang didirikan di luar kediamannya kerana ia menakutkan dan menyiksa mentalnya.
Portal berita South China Morning Post melaporkan, lelaki bernama Tong itu mendakwa bahawa dia takut dengan replika gergasi yang diletakkan bertentangan dengan flatnya.
“Ia terlalu menakutkan. Saya tidak dapat tidur lena selama beberapa hari,” kata Tong.
Pemilik replika dinosaur itu yang merupakan seorang wanita, bingung dengan aduan Tong. Katanya dinosaur jenis brachiosaurus itu dikenali sebagai spesies yang lembut dan comel.
Justeru, wanita itu enggan mengalihkannya kerana kanak-kanak dalam komuniti tersebut seronok melihat replika tersebut. Tambahan pula, dia sudah membelanjakan 100,000 yuan (RM64,748) untuk replika itu.
Dalam usaha untuk menenangkan Tong, dia menutup kepala dinosaur itu dengan sehelai kain.
Tong tidak bersetuju dan merasakan mulut dinosaur yang terbuka luas menghadap rumahnya sangat menakutkan.
Video mengenai dinasour itu mendapat kritikan orang ramai dengan sebilangan netizen mengecam tindakan wanita tersebut.
“Pusingkan kepala dinasour ke arah rumah flat wanita itu,” komen seorang netizen. – AGENSI