fbpx

Kelantan belum lumpuh, banjir di Pasir Mas, Rantau Panjang terkawal

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Anggota tentera menjalankan pemantauan di sekitar kawasan Lubok Jong, Pasir Mas yang terjejas banjir hari ini. Foto oleh KAMARUL BISMI KAMARUZAMAN/ KOSMO!

PASIR MAS – Polis menafikan dakwaan orang ramai yang mengatakan keadaan di negeri ini lumpuh susulan banjir teruk yang melanda Pasir Mas dan Rantau Panjang ketika ini.

Timbalan Ketua Polis Daerah Pasir Mas, Superintandan Nik Aminuddin Raja Abdullah berkata, bencana kali ini dilihat tidak seburuk seperti kejadian sebelum ini.

Katanya, setakat ini, sebanyak 24 pusat pemindahan sementara (PPS) dibuka yang menempatkan seramai 7,698 orang.

“Banjir yang berlaku di Pasir Mas dan Rantau Panjang sebelum ini pernah mencecah 11,000 mangsa yang ditempatkan di 40 buah PPS.

“Justeru, orang ramai diharap tidak memberi gambaran yang salah mengenai situasi banjir ketika ini. Sebarang pertanyaan boleh berhubung dengan pihak polis,” katanya pada sidang akhbar di Balai Polis Repek di sini hari ini.

Mengulas lanjut, Nik Aminuddin memberitahu, operasi menyelamat dan memindahkan mangsa banjir masih diteruskan melibatkan anggota bomba, polis, tentera, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia dan Pasukan Mencari dan Menyelamat Khas Malaysia (SMART).

Tambahnya, keadaan paras air dalam keadaan mendatar dengan Sungai Golok masih berada pada paras 11.04 meter.

“Dijangka ada lagi mangsa yang akan berpindah ke PPS. Selain itu, Jalan Pasir Mas-Rantau Panjang ditutup kepada semua kenderaan ringan berikutan air naik setinggi satu meter,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI