PETALING JAYA- Pendakwah bebas, Ebit Lew melahirkan rasa sayu selepas melawat artis veteran, Bob Lokman di rumahnya di Pasir Mas, Kelantan.
Katanya, dia menziarahi Bob Lokman atau nama sebenarnya Mohd. Hakim Lokman, 56, setelah terbaca mengenai laporan pembedahan jantungnya esok.
Pelawak dan pelakon itu turut meminta Ebit memberitahu orang ramai agar memaafkannya sekiranya dia meninggal dunia.
“Katanya beliau fikirkan juga anak-anak kecil yang masih madrasah. Tadi banyak berbual mengenai akhirat dan katanya teruskanlah ustaz membantu orang ramai. Bila beri sedikit belanja untuknya. Bob Lokman menangis sahaja tadi,” katanya dalam satu hantaran di laman Facebook beliau hari ini.
Ebit turut menenangkan Bob Lokman dan mendoakan beliau panjang umur.
Kosmo! hari ini melaporkan Bob Lokman memberitahu dia kini sedang bergelut dengan komplikasi penyakit jantung yang dialaminya sejak 12 tahun lalu. – K! ONLINE