PUTRAJAYA – Data Sistem Insurans Pekerjaan (SIP) Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) sehingga 20 November menunjukkan lebih 62 peratus daripada pekerja yang kehilangan pekerjaan adalah dalam kalangan belia.
Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri M. Saravanan berkata, belia kehilangan pekerjaan tersebut majoritinya berusia antara 25 hingga 29 tahun membabitkan seramai 19,396 orang.
Katanya, berdasarkan rekod Kementerian Belia dan Sukan (KBS) pula, kadar pengangguran belia telah meningkat kepada 9.0 peratus.
“Justeru susulan Agenda Pemerkasaan Belia, kedua-dua kementerian komited untuk bekerjasama dalam isu yang melibatkan peluang pekerjaan, pewujudan pekerjaan baharu, latihan kemahiran serta akses kepada dana dan kemudahan untuk belia.
“Memandangkan negara terus berdepan cabaran pandemik Covid-19, Kementerian Sumber Manusia (KSM) akan menggandakan usaha melaksanakan program peluang pekerjaan dengan rakan strategik demi mengurangkan kadar pengangguran terutamanya dalam kalangan belia di negara ini,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Saravanan berkata, KSM juga akan melaksanakan beberapa inisiatif di bawah Belanjawan 2021 untuk mengurangkan kadar pengganguran dan merancakkan pasaran buruh negara.
Beliau berkata, menerusi penganjuran Karnival Penjara Kerjaya Belia 2020 oleh KSM bersama KBS pada 24 hingga 26 November lalu, ia julung kali diadakan secara dalam talian dilaksanakan oleh Perkeso dengan lebih 8,300 kekosongan jawatan ditawarkan 26 majikan.
Menurutnya, sepanjang tiga hari karnival, ia mendapat penyertaan seramai 13,246 belia dari seluruh negara dan seramai 65 calon telah ditawarkan pekerjaan serta-merta apabila berjaya dalam temuduga terbuka secara maya, manakala 320 calon berjaya ke temuduga pusingan kedua. – K! ONLINE