fbpx

Tambatan Diraja jadi tumpuan orang ramai tinjau paras air Sungai Kelantan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Orang ramai yang hadir meninjau paras air Sungai Kelantan di Tambatan Diraja, Kota Bharu hari ini. Foto oleh MUSTAQIM MOHAMED/KOSMO!

KOTA BHARU – Penduduk di sekitar Kota Bharu hadir meninjau paras air Sungai Kelantan di Tambatan Diraja, di sini hari ini selepas hujan berterusan melanda kebanyakan kawasan di daerah ini sejak beberapa hari lalu.

Salah seorang pengunjung Wan Azwan Wan Azhan, 33 berkata, sudah menjadi kebiasaan dia berkunjung ke Tambatan Diraja untuk meninjau paras air sungai setiap kali musim tengkujuh.

“Saya bersama keluarga akan datang meninjau paras air Sungai Kelantan di sini pada musim tengkujuh hampir setiap tahun. Ia sudah menjadi kebiasaan sejak saya masih kecil lagi.

“Arwah nenek saya tinggal di Kubang Pasu yang terletak dekat dengan Tambatan Diraja. Jadi, saya dapat lihat dengan jelas paras air Sungai Kelantan sekali gus memudahkan persediaan menghadapi banjir,” katanya ketika ditemui Kosmo! hari ini

Wan Azwan memberitahu, dia datang bersama isteri, Nadiah Amin, 33, dua anaknya dan adik iparnya, Alif Amin, 27.

Sementara itu, penjaga Menara Tinjau Tambatan Diraja, Muhammad Suhaimi Idris memaklumkan, paras air mula naik pada pukul 10.15 pagi tadi dan orang ramai dilihat hadir ke kawasan itu sejak malam tadi.

Katanya, pihak menara tinjau telah membuat persediaan sejak dua hari lalu bagi menghadapi kenaikan paras air dan kehadiran orang ramai dengan memasang pita penghalang sejak awal pagi tadi untuk tujuan keselamatan.

“Langkah memasang pita penghalang adalah sebagai amaran kepada pengunjung agar tidak melepasi kawasan berbahaya terutamanya di pinggir sungai. Kebiasaannya pengunjung akan lebih ramai pada sebelah malam.

“Kebanyakan pengunjung akan datang bersama keluarga termasuk anak kecil dan bayi sambil menjamu selera di gerai-gerai sekitar kawasan Tambatan Diraja,” katanya

Bagi peniaga, Wan Amir Lokman Wan Mohd. Zain, 22 pula, kehadiran pengunjung di Tambahan Diraja untuk meninjau paras air sungai sekali gus membawa tambahan rezeki kepadanya dan rakan-rakan peniaga lain.

Menurutnya, keuntungan perniagaannya meningkat sekali ganda pada musim tengkujuh berbanding hari biasa.

“Jadi, kami ambil peluang untuk buka gerai seawal pukul 7 pagi berbanding pukul 7 malam pada hari biasa. Mungkin operasi perniagaan awal ini dijalankan dalam tempoh seminggu sahaja,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI