NEW DELHI – Seorang wanita didakwa dipukul dan diikat pada tiang elektrik oleh anaknya sendiri kerana dia memetik bunga kubis dari kebun si anak di daerah Keonjhar, Odisha, lapor portal berita India Today hari ini.
Pertikaian tercetus selepas wanita berusia 70 tahun itu memakan sayur yang dipetik dari kebun anaknya di kampung Sarasapasi.
Ketika pertengkaran semakin memuncak, anaknya itu mengikat ibunya pada tiang elektrik dan memukulnya.
Penduduk kampung yang cuba campur tangan telah menerima ugutan daripada anak lelaki itu.
Wanita itu kemudian diselamatkan oleh penduduk kampung dan dihantar ke Pusat Kesihatan Komuniti Basudevpur untuk mendapatkan rawatan.
Polis kemudian bertanya kepada wanita itu mengenai kejadian itu dan dakwaan telah difailkan terhadap anaknya di bawah undang-undang berkaitan.
Dalam pada itu, Dr. Abhijit Dixit dari Pusat Kesihatan Komuniti Basudevpur berkata: “Wanita itu dimasukkan ke pusat rawatan berkenaan pada 20 Disember.” – AGENSI