PARIS – Paris Saint-Germain (PSG) optimis dapat menawarkan kontrak baharu buat Kylian Mbappe meskipun ayam tambatan pasukan itu sudah bebas untuk berbincang dengan mana-mana kelab pada Januari depan.
Difahamkan, Real Madrid mahu pemain berusia 25 tahun itu berhijrah ke Santiago Bernabeu tetapi enggan memulakan ‘langkah awal’ sebaliknya pihak pengurusan menanti ‘panggilan’ ejen peribadi Mbappe.
Jika segalanya berjalan lancar, skuad The Galacticos kendalian Carlo Ancelotti mungkin boleh memastikan Mbappe berhijrah apabila jendela perpindahan dibuka minggu depan berbanding tunggu ketika kontraknya berakhir pada penghujung musim nanti.
Namun, PSG yakin pemain antarabangsa Perancis itu tidak akan angkat kaki selepas mendapatkan ‘janji mulut’ daripada pihak Mbappe baru-baru ini sekali gus bakal berbincang mengenai tawaran kontrak baharu..
Sebagai rekod, Real sememangnya berminat untuk mendapatkan khidmat Mbappe sejak 2021 lagi sebelum penyerang itu membuat pusingan ‘U’ dengan menandatangani kontrak lanjutan untuk kekal bersama PSG hingga 2024. – AGENSI