LONDON – Wolverhampton terus kebal di Stadium Molineux apabila kekal tanpa kalah dalam tujuh perlawanan berturut-turut dan kali ini tundukkan Chelsea 2-1, sebentar tadi.
Paling menarik, Wolverhampton menyamai rekod musim 1969/70 apabila berjaya menjaringkan gol dalam 16 perlawanan berturut-turut di gelanggang sendiri.
Keputusan itu terus menghadirkan kekecewaan kepada The Blues memandangkan Wolverhampton turut raih kemenangan pada pertemuan terakhir, April lalu.
Chelsea yang menguasai 62 peratus permainan di babak pertama sepatutnya sudah mampu berada di depan sebaliknya situasi satu lawan satu menyaksikan rembatan Raheem Sterling pada minit ke-33 berjaya disekat oleh ketangkasan penjaga gol tuan rumah, Jose Sa.
Minit ke-44, giliran Wolverhampton dihimpit kecewa selepas voli dilakukan Hwang Hee-chan tidak menepati sasaran untuk memaksa 45 minit pertama berakhir tanpa jaringan.
Wolverhampton tampil lebih baik di awal babak kedua dan hasilnya minit ke-51 mereka memperoleh gol pembukaan menerusi Mario Lemina sekaligus beri tekanan buat The Blues untuk memastikan kemenangan pertama di Stadium Molineux sejak September 2019.
Chelsea kemudiannya beri reaksi positif untuk mencari gol penyamaan namun Wolverhampton jelas lebih bersedia untuk melakukan tugasan bertahan.
Selepas tiga minit aksi memasuki masa tambahan, pertahanan tuan rumah, Matt Doherty meledak gol kedua pasukannya manakala jaringan tunggal pelawat dihasilkan oleh Christopher Nkunku. – KOSMO! ONLINE