KUCHING – Pelajar tingkatan tiga yang dibaham buaya ketika menyelam untuk menarik pukat yang tersangkut di sungai Samariang Aman, di sini semalam ditemui hari ini.
Jurucakap Pusat Gerakan Operasi Bomba Sarawak berkata mayat Mohammad Faqrul Zaimi, 15, dari Kampung Moyan Laut ditemui oleh pasukan mencari dan menyelamat (SAR) pada pukul 11 pagi tadi.
“Mayat mangsa dijumpai kira-kira dua kilometer dari lokasinya dibaham buaya,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Beliau berkata mayat mangsa kemudian diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut dan penyecaman mayat turut dibuat oleh ibu bapanya.
Terdahulu, beliau berkata pihaknya menerima laporan mengenai kejadian kira-kira pukul 4.27 petang semalam dan segera menggerakkan pasukan dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Petra Jaya ke lokasi.
Katanya ketika kejadian, mangsa bersama tiga lagi rakannya sedang memancing serta menjala di sungai Samariang Aman.
Katanya operasi turut disertai lima anggota polis Marin lengkap bersenjata termasuk Unit Dron Pasukan Gerakan Udara Polis Marin yang membuat tinjauan dari udara menggunakan dron. – KOSMO! ONLINE