BANDAR GAZA – Lebih 200 orang terkorban dalam serangan tentera Israel bagi tempoh 24 jam di Gaza, kata pegawai wilayah Palestin itu seperti dilaporkan laman berita The New Arab semalam.
Ia berlaku ketika keganasan berterusan selepas resolusi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) menuntut lebih banyak bantuan kemanusiaan ke wilayah yang dikepung tentera Rejim Zionis itu.
Israel meneruskan serangannya dengan memfokuskan bahagian selatan Semenanjung Gaza, di mana asap berwarna kelabu dan hitam dilihat menjulang tinggi di bandar Khan Younis.
Seramai 201 orang dilaporkan terkorban dalam tempoh 24 jam lalu, menyebabkan angka kematian sejak permulaan perang antara tentera Rejim Zionis dengan Hamas kepada lebih 20,000.
Sebahagian besar mangsa ialah wanita dan kanak-kanak. – AGENSI