fbpx

3 anggota polis ditahan, RM85,000 lesap dalam Op ‘Little Dhaka’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
PASUKAN Gerakan Am (PGA) menggempur lokasi diberi jolokan ‘Little Dhaka’ di Jalan Silang, Kuala Lumpur bar-baru.

KUALA LUMPUR – Seramai tiga anggota polis ditahan berhubung kes kehilangan wang berjumlah RM85,000 di sebuah premis di Lebuh Pudu sewaktu pihak berkuasa menjalankan operasi khas pada Khamis lalu.

Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Allaudeen Abdul Majid berkata, ketiga-tiga anggota yang diberkas itu berusia 26 hingga 35 tahun.

Katanya, polis menerima laporan berhubung kehilangan wang itu pada pukul 12.36 tengah malam, Jumaat lalu.

“Kes disiasat di bawah Seksyen 380 Kanun Keseksaan. Mereka ditahan direman selama empat hari sehingga Selasa ini.

“Kes ini masih dalam siasatan dan orang awam diminta supaya tidak membuat sebarang spekulasi yang boleh mengganggu siasatan ataupun boleh menimbulkan kegusaran awam,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Pada 21 Disember lalu, Kosmo! melaporkan seramai 1,101 pendatang asing tanpa izin (PATI) ditahan dalam Ops Khas Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (KDNKA) di Jalan Silang atau dikenali sebagai ‘Little Dhaka’.

Kesemua mereka termasuk dua kanak-kanak ditahan pada pukul 11 pagi hasil pemeriksaan terhadap 60 premis kerana gagal mengemukakan dokumen pengenalan diri yang sah.

Operasi ini bertujuan membanteras pelbagai kegiatan jenayah dan aktiviti tidak sihat dalam kalangan PATI di kawasan tersebut.

Polis merampas 100 karton rokok bernilai RM22,000, 80 karton arak (RM48,000) dan ubat-ubatan tanpa kelulusan Kementerian Kesihatan bernilai RM34,530. – KOSMO! ONLINE.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI