LIVERPOOL – Walaupun terpaksa menanti lama untuk menamatkan kemarau kemenangan di Anfield, pengurus Arsenal, Mikel Arteta menganggap aksi menentang Liverpool berakhir 1-1 awal pagi semalam sebagai perlawanan paling sengit dalam tempoh 20 tahun.
Keputusan itu membolehkan The Gunners kekal mendahului carta Liga Perdana Inggeris (EPL) dengan 40 mata dan hanya berkelebihan satu mata berbanding Liverpool dan Aston Villa yang kini menghuni tempat kedua serta ketiga.
“Aksi yang sukar untuk dipercayai, salah satu perlawanan paling tegang yang saya pernah saksikan dalam tempoh 20 tahun. Dalam beberapa ketika, kami mendahului, namun bagi saya keputusan seri ini adalah adil.
“Untuk melihat pemain mempunyai keberanian dan keyakinan seperti ini adalah sangat bagus. Saya juga fikir kami sebenarnya berhak untuk mendapatkan kredit daripada aksi ini,” katanya.
Tandukan Gabriel di awal permainan memberi petanda positif buat Arsenal untuk meraih tiga mata di Anfield sejak September 2012, tetapi Mohamed Salah memastikan The Reds mengelak kekalahan kedua musim ini apabila meledak gol penyamaan.
Dalam masa sama, Arteta turut memuji rakan sejawatnya, Jurgen Klopp yang mempertaruhkan perancangan terbaik hingga berjaya menyukarkan benteng pertahanan Arsenal sepanjang 90 minit perlawanan.
“Saya gembira melihat kedudukan sekarang (tangga teratas EPL) dan kami juga menunjukkan tahap terbaik walaupun lima pemain utama tidak dapat bersama pasukan. Perkara seperti inilah yang kami perlu kekalkan,” jelas Arteta. – AGENSI