fbpx

Peluang kerjaya cerah bidang TVET maritim

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Para pelajar akan dilatih sepenuhnya bagi persiapan dalam kerjaya maritim.

PROGRAM latihan teknikal dan vokasional (TVET) sudah mula menjadi rebutan pelajar di negara ini terutama lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).

TVET telah mencetuskan satu fenomena positif dalam kalangan pelajar dan ibu bapa dengan menjadikan pendidikan kemahiran sebagai pilihan kerjaya.

Tidak setakat itu, TVET juga bukan lagi disifatkan sebagai pengajian kelas kedua untuk mereka yang tercicir atau kurang cemerlang dalam akademik.

Sebaliknya, ia berupaya menyumbang tenaga kerja berkemahiran tinggi dalam bidang baharu yang penting kepada pembangunan dan kemajuan negara.

Menyedari keperluan tersebut, Malaysia Industrial Skill Academy (MISA) menjalinkan kerjasama strategik dengan Pusat Latihan Pelita Akademi (Pelita Akademi) bagi program TVET dalam bidang maritim di negara ini.

Ketua Pegawai Operasi MISA, Siti Patimah Hussin berkata, kedua-dua pihak menyasarkan kemasukan seramai 300 pelajar bagi dua kursus iaitu Kelasi Kapal dan Kelasi Dek yang ditawarkan bermula Februari 2024 menerusi empat pengambilan sepanjang tahun.

Menurutnya, ia berikutan maklum balas dan permintaan memberangsangkan daripada industri maritim untuk tenaga kerja mahir dan berkelayakan bagi mengendalikan operasi di atas kapal.

“Kerjasama ini diharapkan dapat mencipta kesedaran dalam kalangan masyarakat mengenai peluang cerah yang terdapat dalam bidang TVET maritim.

“Kami turut komited untuk menarik lebih ramai individu yang berminat dalam pengajian secara praktikal di atas kapal.

SITI PATIMAH (dua dari kiri) dan Baharom (tiga dari kiri) bergambar kenangan selepas menandatangani MoU antara MISA dan Pelita Akademi baru-baru ini.

“Bidang ini bukan sahaja menjamin peluang pekerjaan, tetapi gaji yang amat berbaloi,” katanya.

Siti Patimah berkata demikian pada sidang akhbar selepas menandatangani memorandum persefahaman (MoU) antara MISA dan Pelita Akademi baru-baru ini. Turut hadir ialah Pengasas Pelita Akademi, Baharom Mohd. Taha.

Jelasnya, menerusi program latihan dengan keperluan sebenar industri, MISA dan Pelita Akademi optimis dapat melahirkan graduan yang mampu menyumbang secara positif kepada kemajuan sektor maritim.

“Selain itu, kerjasama ini memberi peluang kepada pelatih untuk menyambung pengajian dengan menaik taraf sijil sedia ada.

“Kursus yang kami tawarkan juga terbuka kepada sesiapa sahaja terutama bagi golongan sasar yang ingin meningkatkan kemahiran dalam bidang maritim,” katanya.

Siti Patimah menambah, kerjasama kedua-dua pihak juga selaras dengan matlamat kerajaan untuk memartabatkan TVET dengan menyumbang kepada peningkatan kualiti dan relevansi program.

Ujarnya, MISA dan Pelita Akademi sedia memberi komitmen tinggi untuk menyokong transformasi TVET dalam bidang maritim yang mampu menyediakan peluang pekerjaan baik untuk direbut golongan muda.

“Kerjasama ini menjadi langkah terdepan dalam merealisasikan potensi sektor maritim sebagai pemacu utama ekonomi negara.

“MISA dan Pelita Akademi bersama-sama berusaha untuk mencapai kecemerlangan dalam penyediaan pendidikan dan latihan terhadap keperluan sektor industri,” katanya.

Sementara itu, Baharom berkata, Pelita Akademi adalah salah satu institusi yang tidak asing lagi dalam industri maritim terutamanya bagi menyediakan latihan dan pendidikan kepada mereka yang ingin mempelopori kerjaya sebagai pelaut.

Katanya, kepakaran pihaknya dalam bidang tersebut (maritim) dapat dibuktikan dengan kekukuhan platform yang sudah bertapak dalam industri selama lebih dua dekad.

“Sejak penubuhan akademi, terdapat lebih daripada 50,000 orang pelatih di dalam dan luar negara telah berjaya dilahirkan. Mereka ini diiktiraf oleh Jabatan Laut Malaysia di bawah Pertubuhan Maritim Antarabangsa untuk Konvensyen Antarabangsa mengenai Standard Latihan, Pensijilan dan Pengawasan Pelaut.

“Lebih membanggakan, Pelita Akademi turut menerima akreditasi daripada Jabatan Pembangunan Kemahiran untuk Sijil Kemahiran Malaysia di bawah Kementerian Sumber Manusia,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI