KUALA KRAI – Seorang ibu tunggal menggalas tanggungjawab besar sebagai ketua keluarga dengan mengusahakan peroduk kraf tudung saji plastik bagi menyara tiga anaknya yang masih bersekolah.
Ku Ariziana Tuan Nor, 42, berkata, selepas kematian suaminya pada September 2022, dia nekad bangkit untuk membesarkan anak-anaknya yang berusia sembilan hingga 14 tahun.
Katanya, meskipun pendapatan yang diperoleh tidak seberapa, namun ia merupakan satu-satunya punca rezeki mereka empat beranak untuk meneruskan hidup.
“Sebelum ini, kami tinggal di Kuala Lumpur. Disebabkan masalah kesihatan suami, arwah berhenti kerja dan kami pulang ke kampung. Ketika itu, saya belajar membuat kraf tangan menerusi YouTube,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Kampung Tanjung Kala di sini semalam.
Ku Ariziana memberitahu, produk yang dihasilkannya dijual pada harga RM30 sehingga RM90 bergantung kepada saiz dan corak mengikut permintaan. Tudung saji itu bukan sahaja digunakan untuk menutup makanan, tetapi dijadikan hiasan dinding.
“Biasanya tempahan diterima secara dalam talian, namun ada juga pelanggan yang datang terus di rumah,” ujarnya.
Orang ramai yang berminat boleh menghubungi Ku Ariziana di talian 012-347 2592. -KOSMO! ONLINE