MELAKA – Polis menahan dua lelaki tidak sampai 24 jam selepas mereka menyamun seorang wanita dengan melarikan sebuah beg galas yang turut mengandungi barang kemas di Taman Malim Jaya, di sini Khamis lalu.
Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Asisten Komisioner Afzanizar Ahmad berkata, kedua-dua suspek berusia 21 dan 22 tahun ditahan selepas dipercayai terlibat dalam kejadian samun membabitkan mangsa wanita berusia 41 tahun kira-kira pukul 6.45 pagi.
Katanya, bertindak atas laporan dibuat mangsa, sepasukan anggota polis dari Cawangan Siasatan Khas dan Jenayah Berat (D9) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Melaka Tengah dengan bantuan anggota Balai Polis Batu Berendam telah membuat tangkapan pada pukul 7.15 malam.
“Tangkapan telah dibuat di sebuah rumah di Batu Berendam dan kita turut merampas sebuah beg galas dipercayai milik mangsa yang mengandungi kad bank, wang tunai RM1, 200, sebentuk cincin dan seutas rantas emas.
“Pihak polis turut menahan dua lelaki berusia 20 dan 24 tahun kerana telah menghalang pasukan membuat tangkapan tersebut,” katanya ketika dihubungi di sini hari.
Afzanizar berkata, menurut laporan dibuat, sebelum kejadian mangsa yang baru keluar dari rumahnya ternampak ibunya sedang berbual dengan suspek dan mendakwa mengenalinya.
“Ketika mangsa menuruni tangga untuk pergi kerja, suspek telah mengikuti belakangnya dan tiba-tiba memukul kepalanya menggunakan topi keledar.
“Suspek kemudian menarik dan melarikan beg galas milik mangsa,” katanya.
Katanya, suspek utama kes berusia 21 tahun kini direman selama tujuh hari sehingga esok. – K! ONLINE