PUTRAJAYA – Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) menyifatkan tuduhan dibuat oleh seorang pendakwah terhadap Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berhubung Ashabul Kahfi sangat ekstrem dan keterlaluan.
Menterinya, Datuk Dr. Mohd. Na’im Mokhtar berkata, pendakwah itu bersikap gopoh dalam perkara berkenaan apabila membuat tohmahan dengan bahasa kasar terhadap Perdana Menteri sebagai sesat serta jahil.
Jelas beliau, hakikatnya Perdana Menteri tidak menyatakan pemuda Ashabul Kahfi itu sebagai golongan tidak beriman sebaliknya mengajak penjawat awam mengambil iktibar daripada kisah terbabit.
Tambah beliau, Perdana Menteri malah mengajak seluruh rakyat agar menjadi warga negara yang berprinsip selaras dengan dasar kebenaran dan keadilan dalam kehidupan berpandukan keteguhan keyakinan pemuda al-Kahfi.
“Huraian Perdana Menteri terhadap konteks peristiwa itu juga adalah tepat sebagaimana rujukan sumber-sumber tafsir dan tulisan ilmiah di mana kisah Ashabul Kahfi berlaku di zaman pemerintahan kaum Nasrani atau Kristian.
“Ia juga selari seperti penjelasan dibuat Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan dalam isu pemuda Al-Kahfi yang boleh dirujuk kepada Irsyad Al-Hadith Siri ke-50: Kisah dan Bilangan Ashabul Kahfi pada April 2016 dan Bayan Linnas Siri ke-286: Adakah Ashab al-Kahfi Beragama Kristian? Disember 2023,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Mohd. Na’im berkata, umat Islam negara ini perlu sentiasa merujuk isu-isu dan permasalahan keagamaan kepada pihak berkuasa agama Islam seperti pejabat atau Jabatan Mufti Negeri-Negeri dan Jabatan Agama Islam Negeri-Negeri yang berautoriti dalam perkara berkaitan.
Kata beliau, agamawan di negara ini juga dinasihatkan agar bersikap cermat, memelihara adab dalam menyampaikan dakwah, tawaduk dalam menyebarkan risalah agama agar tidak terjebak dengan penyakit takbur dengan ilmu yang dimiliki.
Ujar beliau, pendakwah perlu menghayati nilai hikmah demi memelihara kemaslahatan perpaduan masyarakat yang berakhlak, bersatu padu dan sejahtera.
Kata beliau lagi, sebarang ucapan dan ceramah yang berbaur sentimen perpecahan dan kebencian sesama sendiri perlu dihentikan.
Satu rakaman video seorang penceramah agama dari Terengganu mengecam kenyataan Anwar berkaitan tujuh pemuda Ashabul Kahfi ketika menyampaikan ucapan pada Perhimpunan Bulanan JPM minggu lalu tular di media sosial. – KOSMO! ONLINE.