fbpx

Tiada belanjawan 100 peratus sempurna – Tengku Zafrul

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Tengku Zafrul melakukan pembentangan Belanjawan 2021, di Bangunan Parlimen pada 6 November lalu.

PUTRAJAYA – Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz mengakui tiada belanjawan yang 100 peratus sempurna sebaliknya, penting untuk kerajaan mendengar denyut nadi rakyat.

Menurutnya, bagi bulan-bulan mendatang, kerajaan akan terus mendengar dan bersedia untuk terus melindungi rakyat dalam menghadapi Covid-19 dan cabaran ekonomi semasa.

“Kerajaan tidak mampu menerima atau melaksanakan kesemua cadangan yang dibangkitkan menerusi Belanjawan 2021.

“Namun, seperti yang saya sebut ketika penggulungan di Dewan Rakyat tempoh hari, peranan kerajaan adalah untuk sentiasa mengimbangi kepentingan-kepentingan baik dari segi implikasi kos, penerima bantuan, implikasi pasaran dan penarafan ekosistem perbendaharaan negara,” katanya.

Beliau berkongsi perkara itu menerusi Nukilan MK #3. B2021: Mendengar, Menambahbaik dan Mengimbangi Cadangan Semua di laman Facebook hari ini.

Tengku Zafrul berkata, beliau juga akui ada pihak yang mempersoal kewajarannya mengumumkan penambahbaikan dan inisiatif tambahan pada ucapan penggulungan Belanjawan 2021, Khamis lalu termasuk dari Ahli Parlimen, netizen dan pihak media.

Beliau berkata, dia ingin menjelaskan bahawa cadangan penambahbaikan itu bukan daripadanya malah, ia dibangkitkan Ahli Parlimen sendiri baik daripada kerajaan atau pembangkang.

“Pelbagai pihak mempunyai persepsi yang berbeza tentang belanjawan ini. Realitinya Belanjawan 2021 adalah tidak lain tidak bukan dirangka untuk kelangsungan hidup rakyat dan ketahanan ekonomi negara.

“Terciptanya belanjawan ini adalah untuk memelihara kesejahteraan rakyat dari segi kesihatan dan kehidupan, agar rakyat negara kita mampu menghadapi cabaran-cabaran ekoran wabak Covid-19 dan bersedia bagi pertumbuhan selepas Covid-19.

“Melalui Belanjawan 2021, kita mahu membina ketahanan supaya rakyat dapat melangkah ke masa depan yang lebih cerah,” katanya. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI