SEBERANG PERAI – Seorang lelaki maut akibat tersepit di bawah kabin lori ketika menyelenggara kenderaan itu di sebuah bengkel di Jalan Tasek, Simpang Ampat di sini, petang tadi.
Mangsa, Ong Meng Huat, 52, disahkan mati di tempat kejadian akibat kecederaan parah yang dialami.
Jurucakap bomba negeri berkata, operasi yang diketuai Pegawai Bomba Kanan II (PBK II) Mohd. Safi@Roslan Abdullah bersama pasukan dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sungai Bakap bergegas ke lokasi kejadian selepas menerima panggilan kira-kira pukul 2.12 petang.
“Sebaik tiba di lokasi, didapati mangsa yang bertugas sebagai pekerja penyelenggaraan tersepit di bahagian bawah kabin lori. Operasi menyelamat bagi mengeluarkan mangsa dijalankan menggunakan peralatan khas,” katanya di sini, petang tadi.
Mengulas lanjut katanya, hasil pemeriksaan oleh pegawai perubatan di lokasi mengesahkan mangsa telah meninggal dunia.
“Kes diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut dan operasi tamat sepenuhnya pada pukul 4.04 petang tadi,” tambahnya. – KOSMO! ONLINE