KUALA SELANGOR – Seorang lelaki dipercayai tidak sedarkan diri akibat mabuk diselamatkan selepas terkunci di dalam keretanya di hadapan sebuah restoran di Bandar Baru di sini malam tadi.
Kejadian itu disedari orang awam kira-kira pukul 8.10 malam apabila mendapati lelaki berusia 32 tahun itu berada dalam kenderaan dengan enjin tidak dihidupkan dan tingkap cermin tertutup.
Penolong Pengarah Operasi Bomba Selangor, Hafisham Mohd. Noor berkata, seramai 10 anggota termasuk pegawai dikejarkan ke lokasi kejadian sebaik menerima panggilan kecemasan pukul 8.11 malam.
Katanya, anggota yang tiba dua minit kemudian segera membuka pintu kereta menggunakan peralatan khas sebelum berjaya menyelamatkan lelaki itu.
“Berdasarkan siasatan awal lelaki itu dipercayai tertidur di dalam keretanya akibat mabuk.
“Hasil siasatan,lelaki itu berada dalam keadaan tidak sedarkan diri selama sejam,” katanya ketika dihubungi Kosmo! di sini hari ini.
Kata beliau, lelaki tersebut dikatakan telah datang ke daerah ini dari Rawang bagi menemui rakannya.
Ujar Hafisham, rawatan segera telah diberikan kepada lelaki tersebut oleh pasukan perubatan dan dilaporkan stabil.
“Operasi kemudiannya ditamatkan pukul 8.30 malam,” jelasnya. – K! ONLINE