KOTA BHARU – Pelancong domestik dilihat kurang mengunjungi dan membeli-belah di Pasar Siti Besar Khadijah di sini walaupun cuti sekolah sudah seminggu berlalu.
Pasar yang menjadi ikon pelancongan di tengah-tengah bandar Kota Bharu itu kebiasaannya menjadi tarikan utama pelancong dalam dan luar negara untuk membeli pelbagai barangan makanan dan pakaian.
Seorang peniaga keropok keping, Isma Ismail, 38, berkata, dia melihat keadaan di pasar tersebut suram sama seperti hari-hari biasa walaupun ketika ini sudah masuk musim cuti sekolah.
Katanya, berdasarkan perbualan dengan orang ramai yang datang ke situ, faktor banjir yang melanda negeri ini dan penularan Covid-19 kemungkinan menjadi punca tidak ramai pelancong berkunjung ke lokasi yang menjadi tumpuan.
“Sejak cuti sekolah bermula hujung minggu lalu, pengunjung dari luar Kelantan dilihat tidak ramai datang membeli keropok dan kerepek di sini. Keadaan ketika ini tidak sama seperti semasa cuti sekolah penggal kedua pada September lalu.
“Perniagaan kebanyakan peniaga di Pasar Besar Siti Khadijah berjalan sama seperti hari biasa tanpa ada penambahan jualan pada musim cuti sekolah ketika ini,” katanya ketika ditemui Kosmo! semalam.
Sementara itu, peniaga kain pasang, Che Adilah Che Mat Ariffin, 31, berkata, dia mengakui jualan di premisnya merosot sejak beberapa bulan lalu dan berharap akan ada penambahan pelanggan semasa musim cuti sekolah kali ini.
Menurutnya, pengunjung dari luar dilihat lebih memilih untuk singgah makan di atas Pasar Besar Siti Khadijah berbanding membeli pakaian dan barangan.
“Perniagaan saya tidak serancak seperti sebelum pandemik Covid-19. Peniaga di sini berharap akan ada pertambahan jualan semasa cuti sekolah, namun harapan kami tidak kesampaian apabila melihat keadaan ketika ini,” katanya.
Sementara itu, seorang lagi peniaga, Yah Kassim, 53, berkata, dia berharap pelancong luar dari Kelantan akan datang ke pasar ini semasa cuti sekolah yang masih berbaki lebih seminggu lagi.
“Pertambahan pengunjung ke Pasar Besar Siti Khadijah sebenarnya mampu membantu kami menjana pendapatan. Musim cuti sekolah sebenarnya menjadi peluang kami untuk mendapat jualan lebih.
“Melihat kepada keadaan ketika ini, jualan peniaga di sini hanya biasa-biasa sahaja. Sama seperti hari tidak cuti,” ujarnya.