JOHOR BAHRU – Dua wanita warga emas mengalami kerugian RM2,247,241 selepas terjebak dengan sindiket penipuan online yang menawarkan pelaburan tidak wujud.
Timbalan Ketua Polis Johor, Deputi Komisioner M. Kumar berkata, mangsa warga tempatan berusia 63 dan 66 tahun itu membuat laporan pada 19 Disember lalu, selepas menyedari mereka ditipu.
Kes pertama melibatkan suri rumah yang terpengaruh dengan iklan pelaburan di media sosial yang menawarkan keuntungan berlipat kali ganda.
“Mangsa menekan pautan sebelum nombor telefonnya dimasukkan ke kumpulan WhatsApp. Wanita itu diberikan penerangan mengenai cara-cara untuk melabur bagi mendapatkan keuntungan sehingga 44 peratus.
“Pengadu bersetuju melabur dalam jumlah kecil dan mendapat keuntungan seperti yang dijanjikan sebelum membuat pelaburan tambahan sehingga RM1,093,700 ke dalam beberapa akuan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Kumar berkata, mangsa bagaimanapun tidak lagi menerima keuntungan dan mengesyak dia telah diperdaya selain suspek gagal dihubungi.
Jelasnya, kes kedua pula melibatkan seorang pengurus syarikat swasta berkenalan dengan seorang individu di media sosial sebelum ditawarkan pelaburan melalui kaedah sama.
Tambahnya, pengadu tertarik dengan keuntungan yang dijanjikan itu lalu membuat pelaburan sehingga RM1,195,000 ke beberapa akaun berlainan.
Katanya, wanita itu kemudiannya telah menerima sedikit keuntungan yang dipaparkan dalam aplikasi yang dimuat turun namun mangsa kemudiannya menyedari ditipu selepas aplikasi tersebut gagal diakses selain suspek gagal dihubungi.
Kedua-dua kes telah disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu. -KOSMO! ONLINE