fbpx

Lepas Kuantan, KL pula jadi pilihan Jujutsu Kaisen

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Watak Mei Mei ketika memaklumkan dirinya kini berada di Kuala Lumpur, Malaysia menerusi episod 46 Jujutsu Kaisen (musim kedua).

PETALING JAYA – Pusat Bandaraya Kuala Lumpur menjadi destinasi kedua pilihan siri animei Jujutsu Kaisen bagi membawa nama Malaysia ke persada dunia.

Menara Berkembar Petronas atau KLCC muncul dalam episod terbaharu Jujutsu Kaisen, episod 46 (musim kedua) yang memaparkan watak Mei Mei bermalam di salah sebuah hotel berhadapan bangunan berkembar tertinggi dunia itu.

“Maaf sebab ganggu awak pada waktu malam. Oh ya, saya dah lupa tempat awak masih pagi.

“Saya? Saya di KL (Kuala Lumpur). Betul, saya telah gunakan teknik Ui Ui, saya hampir dibunuh. Saya menasihati awak untuk jual semua saham Jepun dan aset tetap Tokyo.

“Saya telah tukar semua duit Jepun saya. Betul, tak boleh tangguh,” katanya ketika membuat panggilan bersama seseorang sambil melihat pemandangan sekitar Kuala Lumpur.

Difahamkan, keberadaan Mei Mei di Kuala Lumpur adalah untuk melarikan diri daripada segala perkara yang berlaku di bandar Shibuya, Tokyo.

Mei Mei juga dikatakan gemarkan Bak Kut Teh iaitu sejenis hidangan sup berserta daging rusuk (terutamanya khinzir) yang dimasak dalam herba tradisi Cina berasal dari Klang, Selangor.

Sehubungan itu, tidak pelik jika Mei Mei melarikan diri ke ibu negara Malaysia untuk mendapatkan ketenangan.

Terdahulu, sohor kini di media sosial nama Kuantan selepas daerah di Pahang itu muncul dalam episod 42 Jujutsu Kaisen (musim kedua) yang ditayang pada platform Netflix.

Watak Nanami Kento ada menyebut bahawa dia ingin melawat Kuantan di Malaysia atau lokasi tepatnya iaitu sebuah pantai di Kuantan sebelum kematiannya.

“Malaysia, ya Malaysia. Saya patut pergi ke Kuantan. Saya akan bina rumah di pantai yang kosong,” antara dialog disampaikan oleh Kento dimainkan oleh pelakon suara popular Jepun, Kenjiro Tsuda.

Terdahulu, kerajaan negeri Pahang memutuskan akan bekerjasama dengan kerajaan Jepun untuk menetapkan pantai itu sebagai memorial rasmi untuk Nanami Kento di Peta Google.

Pengerusi Jawatankuasa Perpaduan, Pelancongan dan Kebudayaan, Leong Yu Man berkata, kerajaan negeri dalam usaha menghubungi pihak kerajaan Jepun supaya mendapat pelepasan dari pencipta anime itu untuk menandakan pantai terbabit.

Katanya, ia bagi menjadikan pantai yang ditanda sebagai tugu memorial watak Nanami Kento itu sebagai tempat check in peminat anime. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI