KUALA LUMPUR – Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) memperuntukkan bajet sebanyak RM1.6 bilion untuk 2024 selari dengan pelan strategiknya.
Jumlah itu menunjukkan peningkatan sebanyak 11.31 peratus berbanding RM1.4 bilion pada tahun ini.
Pengerusinya, Tan Sri Dr. Mohd. Daud Bakar berkata, penyediaan Bajet Rahmah Madani itu ditetapkan selari dengan pelan strategik MAIWP melibatkan kesejahteraan asnaf, pendidikan, transformasi digital, sistem penyampaian dan pemerkasaan ummah.
Menurutnya, anggaran perbelanjaan sejumlah RM1.6 bilion yang terdiri daripada perbelanjaan agihan berjumlah RM1.3 bilion, perbelanjaan mengurus berjumlah RM215 juta dan perbelanjaan pembangunan sebanyak RM85.4 juta.
“Selaras dengan hasrat kerajaan dalam menoktahkan kemiskinan tegar, MAIWP memperuntukkan kepada dua fokus utama dalam perbelanjaan agihan menerusi pemerkasaan dan kesejahteraan asnaf serta pemerkasaan modal insan melalui pendidikan.
“Fokus pertama melibatkan pemerkasaan dan kesejahteraan asnaf dimana RM1.05 billion diperuntukan meliputi perbelanjaan agihan menerusim skim-skim bantuan zakat secara langsung dan tidak langsung kepada asnaf dan agensi serta aktviti pemerkasaan dan pemberdayaan kepada asnaf.
“Ianya meliputi bantuan berbentuk kewangan berjumlah RM287 juta, makanan berjumlah RM68 juta, perubatan RM45 juta dan lain-lain lagi.
“Manakala pemerkasaan modal insan melalui pendidikan, sebanyak RM246 juta diperuntukan dan melibatkan skim bantuan berbentuk pelajaran luar dan dalam negeri berjumlah RM123 juta, pemberian kepada agensi untuk kebajikan masyarakat melalui skim bantuan zakat berjumlah RM21 juta, skim bantuan sekolah agama berjumlah RM8 juta, program pembangunan asnaf berjumlah RM48 juta dan lain-lain” katanya.
Tambahnya, bagi perbelanjaan mengurus, MAIWP memperuntukkan RM215 juta merangkumi aktiviti operasi dan pengurusan MAIWP pada tahun 2024.
Fokus utama perbelanjaan mengurus adalah memberi penekanan kepada aspek kecekapan, kompetensi dan peningkatan mutu perkhidmatan MAIWP selari dengan teknologi terkini IR 4.
Mengulas lanjut, Mohd. Daud berkata, untuk 2024 juga, MAIWP telah memperuntukkan RM85.4 juta untuk perbelanjaan pembangunan dan ia merangkumi aktiviti fizikal pembangunan hartanah, pembelian aset, dan pelaburan yang dapat memberi manfaat kepada kesejahteraan ummah di Wilayah – Wilayah Persekutuan.
“Malah MAIWP juga ingin merakamkan penghargaan dan terima kasih kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, kerana telah meluluskan peruntukan pembinaan Kompleks Sekolah Menengah Integrasi Sains Tahfiz (SMISTA), di Bukit Jalil, Kuala Lumpur.
“Kami amat bersyukur dan berterima kasih atas pengumuman tersebut yang antara lain dapat menyediakan ruang dan kemudahan pendidikan yang kondusif kepada para pelajar terutama di kalangan anak-anak asnaf,” jelasnya.
Untuk tahun 2024, MAIWP menganggarkan pendapatan berjumlah RM1.39 bilion dengan peningkatan sebanyak 9 peratus berbanding RM1.28 bilion tahun ini.
Malah MAIWP menyasarkan kutipan zakat berjumlah RM1.1 bilion melalui Pusat Pungutan Zakat (PPZ) MAIWP, manakala selebihnya merupakan anggaran pendapatan daripada sumber lain seperti sewaan, yuran pengajian serta pelaburan dan peruntukan geran daripada Kementerian Kewangan.
Mohd. Daud menjelaskan, melalui pengumuman anggaran pendapatan dan perbelanjaan 2024 ini, MAIWP memberi komitmen sepenuhnya dalam aspek pemerkasaan dan kesejahteraan asnaf serta pembangunan ummah di Wilayah-Wilayah Persekutuan.
“Ini dapat dilihat melalui komitmen MAIWP dalam menyediakan bajet defisit berjumlah RM210.35 juta melebihi jumlah anggaran pendapatan yang disasarkan oleh MAIWP bagi tahun 2024,” katanya.
Dalam pada itu, MAIWP sentiasa bersedia membantu golongan asnaf dan B40 melalui peruntukan dana yang disediakan menerusi pelbagai skim bantuan yang ditawarkan kepada golongan asnaf di Wilayah Persekutuan menerusi insentif khas MAIWP.
Mohd. Daud berkata, bantuan keperluan asasi akan dinaikan daripada RM150 kepada RM300 mulai tahun 2024.
“Pembayaran melalui e-wallet akan dikreditkan bermula 16 Januari 2024 secara berperingkat melibatkan perbelanjaan sebanyak RM108.7 juta.
“Kemampuan untuk menyediakan peruntukan yang besar ini berjaya dilaksanakan oleh MAIWP hasil daripada komitmen para pembayar zakat di dalam dan luar Wilayah Persekutuan.
“Setinggi-tinggi penghargaan saya ucapkan kepada semua pembayar zakat, kerana dengan zakat anda, MAIWP dapat melaksanakan amanah dengan membantu mereka yang memerlukan,” ujarnya. – KOSMO!ONLINE