KUALA TERENGGANU – Ketamakan dua bot nelayan Vietnam yang sanggup mencerobohi perairan Terengganu untuk mencuri hasil laut negara walaupun pada musim tengkujuh ini, berjaya dipatahkan Maritim Malaysia (APMM), kelmarin.
Salah sebuah bot nelayan asing tersebut berjaya ditahan kapal maritim APMM pada kedudukan 133 batu nautika dari perairan Kuala Terengganu, dekat sini.
Pengarah Maritim Terengganu, Kepten Maritim Mohd. Khairulanuar Abd. Majid berkata, kapal maritim APMM yang sedang mengadakan rondaan di perairan terbabit telah mengesan dua bot nelayan asing berkenaan dalam keadaan mecurigakan.
“Kru dua bot nelayan asing tersebut yang sedang leka menangkap ikan kelam-kabut memecut cuba melarikan diri sebaik menyedari kehadiran kapal maritim APMM.
“Salah sebuah bot nelayan asing itu berjaya dipintas, manakala sebuah lagi melepaskan diri ke zon perairan antarabangsa,” katanya, di sini hari ini.
Mohd. Khairulanuar berkata, hasil pemeriksaan berjaya menjumpai hampir 3.5 tan ikan pelbagai jenis dan 2,000 liter minyak diesel.
Tambah beliau, kesemua hasil tangkapan, minyak diesel bersama peralatan menangkap ikan dan bot bernilai keseluruhan kira-kira RM1.5 juta telah disita dan dibawa ke Pejabat Maritim Terengganu, di sini.
“Pemeriksaan juga mendapati, empat nelayan asing berusia dalam lingkungan 29 hingga 61 tahun yang ditangkap gagal mengemukakan dokumen pengenalan diri, perjalanan dan permit kerja yang sah,” katanya. – KOSMO! ONLINE