fbpx

Dua maut diseret lori rosak brek depan plaza tol

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
DUA penunggang motosikal maut selepas mereka dirempuh sebuah lori yang mengalami kerosakan brek di Plaza Tol Tanjung Kupang, Gelang Patah, Iskandar Puteri, awal pagi hari ini.

ISKANDAR PUTERI – Dua penunggang motosikal maut selepas mereka dirempuh sebuah lori yang mengalami masalah brek di Plaza Tol Tanjung Kupang arah selatan, awal pagi hari ini.

Ketua Polis Daerah Iskandar Puteri, Asisten Komisioner Rahmat Ariffin berkata, kejadian tersebut dilaporkan berlaku pada pukul 5.50 pagi, ketika mangsa dalam perjalanan ke tempat kerja mereka di Singapura.

Menurut beliau, kemalangan itu melibatkan lima kenderaan, iaitu sebuah lori, sebuah treler, sebuah bas dan dua buah motosikal.

“Kejadian dipercayai berlaku apabila lori dipandu seorang lelaki warga tempatan berusia 45 tahun hilang kawalan dan bergesel dengan sebuah treler, sebuah bas dan dua buah motosikal.

“Kedua-dua penunggang motosikal yang berusia 49 dan 54 tahun maut selepas mengalami kecederaan parah pada bahagian badan dan kepala akibat diseret oleh lori.

“Pemandu lori pula mengalami kecederaan di bahagian dada, pemandu treler dan pemandu bas beserta 29 penumpang bas tidak mengalami sebarang kecederaan,” katanya dalam satu kenyataan, di sini hari ini.

Tambah Rahmat, kesemua mangsa dibawa ke Hospital Sultanah Aminah Johor Bahru untuk tindakan lanjut termasuk memberikan rawatan awal.

“Ketika kejadian, kesemua mereka termasuk kedua-dua mangsa yang maut sedang dalam perjalanan menuju ke Singapura untuk bekerja.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987, manakala pemandu lori tidak ditahan ketika ini kerana sedang mendapatkan rawatan di hospital,” jelasnya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI