PETALING JAYA – Keadaan di darat Gaza semakin ‘tenat’ apabila tentera rejim Zionis turut bertindak menyerang para nelayan yang sedang mencari hasil laut.
Menurut perkongsian Cinta Gaza Malaysia, seorang wartawan, Mohammed Asad melaporkan situasi bahaya menghantui penduduk yang berada di kawasan pantai Gaza.
“Pekerjaan yang paling berbahaya di Gaza adalah menjadi nelayan kerana rejim Zionis tidak berhenti menyerang bot nelayan,” katanya.
Di dalam video tersebut, wartawan itu kemudian menunjukkan beberapa orang nelayan sedang menangkap hasil laut untuk mengisi perut mereka yang kosong.
Kemudian, dapat dilihat beberapa peluru serangan udara milik Israel seolah-olah ingin penduduk Gaza itu berhenti mengaut hasil laut.
“Hari-hari rejim Zionis akan menghalang penduduk Gaza daripada mencari hasil laut di Gaza. Bukan setakat di darat dan di udara sahaja mereka kawal, di laut pun mereka serang,” tulis CGM di ruangan kapsyen.
Perkongsian itu meruntun hati rata-rata pengguna di laman sosial sehingga ada yang tidak terkejut lagi dengan tindakan yang bakal Israel lakukan nanti.
“Air hujan pun mereka nak cakap itu hak milik mereka. Dasar tak tahu malu,” kata @hanagram19.
“Nelayan itu tenang je macam tak ada respon. Tak macam rakyat Israel, baru dengar bunyi siran dah lari bertempiran,” perli @dyg1122.
“Tiada yang memeranjatkan lagi. Kita sudah lihat Israel sudah bertindak lebih ekstrem dari ini. Semoga Allah membalas semua kejahatannya,” kata seorang lain pengguna. – KOSMO! ONLINE