PETALING JAYA – Jabatan Meteorologi (MetMalaysia) dalam laporan semasa menunjukkan imej gema radar yang memaparkan keadaan hujan lebat sedang berlaku terutamanya melibatkan kawasan di persisiran pantai timur semenanjung.
Ketua Pengarah MetMalaysia, Muhammad Helmi Abdullah berkata, keadaan tersebut terjadi ekoran musim luruan angin monsun timur laut yang turut membawa kadar kelembapan yang tinggi terutamanya di pantai timur semenanjung.
Katanya, hujan berterusan diramal berlaku di pantai timur Semenanjung yang berpotensi menyebabkan banjir.
“Sehubungan itu, pihak kami telah mengemaskini amaran hujan berterusan peringkat waspada bagi negeri Kelantan, Terengganu, Pahang dan Johor yang berkuat kuasa sehingga 25 Disember 2023.
“Kami turut menyarankan orang ramai menangguhkan dulu perancangan ingin berkunjung ke negeri tersebut atau tukarlah ke destinasi lain seperti di pantai barat yang tidak begitu terkesan dengan hujan berterusan ini.
“Seterusnya, bagi mereka yang tinggal di kawasan pantai timur Semenanjung pula dinasihatkan agar tidak menjalankan aktiviti luar terutama di pesisir pantai kerana keadaan ombak yang lebih tinggi ketika ini,” jelasnya kepada Kosmo!, ketika dihubungi.
Sementara itu, menurut laporan cuaca semasa yang dikongsikan MetMalaysia di Facebook, keadaan cuaca bagi negeri lain di Semenanjung dilihat cerah untuk sepanjang hari.
Berbeza pula di Timur Malaysia di mana keadaan hujan lebat dapat dilihat di Sabah (Sandakan, Kudat dan Pendalaman) dan beberapa kawasan di Sarawak yang melibatkan kawasan Miri, Bintulu dan Kapit.
Bagaimanapun, MetMalaysia meramalkan keadaan hujan di Malaysia Timur akan reda menjelang tengah hari nanti. – KOSMO! ONLINE