fbpx

‘Saya terus jerit Allah Firdaus…’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Nabihah tidak dapat menahan perasaan selepas anggota bomba menemui mayat anak lelakinya yang terjatuh ke dalam paya di Rantau Panjang semalam.

RANTAU PANJANG – “Saya terus jerit Allah Firdaus… Allah Firdaus apabila lihat dia tenggelam di dalam paya depan mata. Saya cuba capai tapi tak sampai sebelum dia terus tenggelam tak timbul-timbul.”

Cerita Nabihah Che Muda, 21, lagi, dia hanya mampu melihat anaknya, Firdaus Mohd. Faizal, setahun tiga bulan, terkapai-kapai selepas terjatuh ke dalam paya sedalam 10 meter sebelum pengsan beberapa kali.

Kejadian pada pukul 12 tengah hari semalam di Taman Rantau Baru di sini itu berlaku ketika Nabihah membawa anaknya ketika berkunjung ke kedai makan ibu saudaranya untuk membantu membersihkan premis yang terjejas akibat banjir.

Warga Thailand itu berkata, ketika dia sedang leka membersihkan ruang kedai, dia panik apa­bila tidak nampak kelibat anaknya yang sekelip mata sudah hilang daripada pandangannya.

Katanya, anaknya baru pandai bertatih dan mungkin terjatuh ke dalam paya ketika berjalan bersendirian.

Anak panah menunjukkan lokasi Firdaus terjatuh ke dalam paya sebelum ditemui tenggelam pada kedalaman
10 meter di Taman Rantau Baru, Rantau Panjang semalam.

“Dalam keadaan cuak, saya terus mencarinya di belakang kedai sebelum melihat tangan Firdaus terkapai-kapai di dalam paya itu. Saya cuba mencapai tangannya, namun tidak sampai.

“Depan mata, saya lihat dia tenggelam dan saya terus menangis dan meraung. Kejadian itu berlaku sangat pantas dan dia langsung tidak timbul-timbul selepas itu,” katanya ketika ditemui di sini semalam.

Menurut Nabihah, dia kemudian terus memanggil sepupunya yang berada di dalam premis untuk membantu menghubungi pihak penyelamat.

Tambahnya, dia tidak dapat menahan tangisan apabila anaknya itu tenggelam sebelum dia pengsan beberapa kali.

“Apabila bomba berjaya mene­mui mayat anak dan membawa­nya ke atas, saya sekali lagi hampir pengsan dan sempat mencium jenazah Firdaus ber­kali-kali,” katanya.

anggota bomba mengangkat mayat Firdaus yang ditemui tenggelam di dalam paya di Taman Rantau Baru, Rantau Panjang semalam.

Ujar Nabihah, dia tidak me­nyangka Firdaus pergi untuk selama-lamanya dan mereka sempat bergurau mesra dengan dia mencium anaknya berkali-kali ketika mereka bermain bersama.

“Suami saya tiada kerana mempunyai urusan sebagai pe­ngawal keselamatan di Bangkok sejak dua hari lalu,” katanya.

Sementara itu, Pegawai Operasi Pegawai Bomba Kanan I, Syamsul Faizal Mansor berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu kira-kira pukul 12.21 tengah hari.

Menurutnya, mangsa ditemui tidak jauh dari di lokasi dia terjatuh selepas operasi mencari dan menyelamat dijalankan selama satu jam 39 minit.

“Mayat mangsa dijumpai di dalam paya tersebut pada kedalaman hampir 10 meter. Mayat bayi tersebut diserahkan kepada pihak polis sebelum dihantar ke Unit Forensik Hospital Pasir Mas di sini untuk dibedah siasat,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI