KOTA BHARU – Seramai 35 pegawai dan anggota polis di Kelantan dikenakan tindakan tatatertib selepas melakukan pelbagai kesalahan sepanjang tahun ini.
Ketua Polis Kelantan, Datuk Muhamad Zaki Harun berkata, kesalahan salah laku paling banyak dicatatkan oleh warga Polis Diraja Malaysia (PDRM) Kelantan dengan sembilan kes diikuti jenayah lapan kes dan penyalahgunaan dadah tiga kes.
Menurutnya, jumlah tersebut menunjukkan penurunan apabila sebanyak 70 kes kesalahan tatatertib dicatatkan dalam kalangan pegawai dan anggota polis pada tahun lalu.
“Kesalahan melibatkan warga PDRM Kelantan masih terkawal. Kes melibatkan kesalahan narkotik sememangnya dikesan dan dipantau daripada awal terutamanya apabila perubahan tingkah laku anggota.
“Setakat ini, tiada lagi pegawai dan anggota polis di negeri ini yang dikenakan tindakan dibuang kerja,” katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) di sini, hari ini. – KOSMO! ONLINE