fbpx

4 Dara 4 Nyonya terjah survival teater era PKPP

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Normal baharu PKPP diharap membuka ruang kepada penggiat industri untuk berkarya walaupun bersyarat.

Tidak mahu menunggu lama, itu kata-kata penerbit dan pengarah teater tersohor, Siti Rohayah Attan apabila kerajaan mengumumkan industri seni, hiburan dan teater boleh beroperasi sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP).

Meskipun produksi teater masih terbatas dengan beberapa tatacara prosedur standard operasi (SOP), namun norma baharu tersebut tidak menghalang Rohayah merencanakan pementasan teaternya, 4 Nyonya 4 Dara pada Oktober ini.

 

Siti Rohayah

Bertindak selaku penerbit, dia sudah pun merisik beberapa nama besar bagi menjayakan teater berkenaan seperti Misha Omar, Farahdhiya, Amy Mastura dan Norzizi Zulkifli yang diharap sempat merebut slot pada hujung bulan Oktober akan datang.

“Saya sedang giat mencari tajaan bagi pementasan ini dan kami memerlukan kos sekitar RM400,000 untuk menampung perbelanjaan produksi.

“Saya berterima kasih juga kepada pihak kerajaan kerana membuat pengecualian sewa bagi menggunakan pentas Istana Budaya sebagai tanda sokongan merancakkan semula industri seni,” katanya kepada Kosmo! baru-baru ini.

Tambahnya lagi, biarpun ruang kapasiti penonton dihadkan kepada 500 orang sahaja, itu tidak memberi alasan untuk bekerja sambil lewa.

“Kualiti perlu dijaga supaya penonton berpuas hati. Sudah setengah tahun, produksi teater tidak aktif. Jadi, apabila peluang sudah terbuka, saya perlu buat sehabis baik,” tegasnya lagi.

Teater 4 Nyonya 4 Dara ditulis oleh Wisran Hadi akan diarahkan oleh Dr. Rosminah Mohd. Tahir dan dijangka menemui penonton di Istana Budaya bermula 27 Oktober hingga 1 November depan.

Penganjur teater dan konsert menikmati pengecualian sewa premis bawah Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) selama enam bulan mulai 1 Jun lalu.

Takut

Sementara itu, Ketua Pengarah Istana Budaya, Zaiton Md. Desa berkata, meskipun pengecualian sewa sudah diberikan, masih banyak produksi luar yang berfikir dua kali untuk mementaskan karya di Istana Budaya.

 

Zaiton Md. Desa

 

Alasan paling ketara ialah jumlah tiket yang boleh dijual tidak boleh melebihi 500 keping. Faktor tersebut membimbangkan pihak berkenaan andai tidak mampu meraih semula modal pembikinan teater yang dipentaskan.

Jika mengikut kapasiti asal, pentas Panggung Sari di Istana Budaya boleh menampung 1,400 penonton dalam satu masa.

Kini, separuh daripada jumlah tersebut perlu dikurangkan bagi mematuhi tuntutan SOP PKPP dan situasi sebegitu menyumbang kerisauan produksi luar.

Istana Budaya sudah mula menerima beberapa permohonan pementasan biarpun tidak serancak dahulu.

“Untuk permulaan, kami mengisi slot yang ada dengan persembahan produksi dalaman Istana Budaya yang sudah lama tertunda.

“Antara konsert yang sudah dilaksanakan termasuk Konsert Norma Baharu yang dijayakan Datuk M. Nasir dan Zizi Kirana pada 17 Julai lalu. Konsert itu sebagai pengenalan bagi SOP baharu pementasan di Istana Budaya sepanjang PKPP ini,” ujar Zaiton. K!ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN