SINGAPURA – Sekurang-kurangnya empat orang cedera dalam insiden serangan bersenjatakan pisau di sebuah pusat beli-belah di Singapura semalam, lapor akhbar Mirror UK.
Beberapa pengunjung dan pemilik perniagaan melarikan diri semasa serangan berlaku di sebuah kompleks beli-belah di Paris Ris petang semalam.
Seorang pengunjung yang enggan identitinya didedahkan berkata, dia melihat beberapa orang cedera berhampiran Royal Regent iaitu sebuah kedai pembekal di West Mall Plaza.
Polis berkata, pihaknya menerima panggilan mengenai serangan di Block 734 Pasir Ris Street 72 itu sekitar pukul 4.50 petang semalam.
Dua lelaki berusia 61 dan 53 tahun serta dua wanita berusia 53 dan 55 tahun kemudian dikejarkan ke hospital. Salah seorang mangsa merupakan pemilik kedai tersebut.
“Mereka berlumuran darah dan terdapat lebih 30 anggota polis di lokasi kejadian, termasuk polis bersenjatakan raifal,” kata saksi.
Seorang suspek lelaki berusia 51 tahun kemudian ditangkap kerana secara sukarela menyebabkan kecederaan serius menggunakan senjata berbahaya. – AGENSI