GEORGE TOWN – Gangguan bekalan air luar jangkaan yang dihadapi penduduk negeri ini hampir 24 jam, sejak malam semalam dijangka pulih sepenuhnya awal pagi nanti.
Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang (PBAPP) menerusi kenyataan di Facebook malam ini berkata, berlaku kelewatan dari jangkaan berikutan kerja-kerja pembaikan saluran paip di dasar Sungai Perai, dekat sini.
Menurutnya, PBAPP menyasarkan normalisasi perkhidmatan bekalan air untuk 95 peratus pengguna yang terjejas.
“Kerja-kerja pembaikan di tapak Sungai Perai agak lewat dari jadual kerana dua faktor utama iaitu keadaan sungai yang buruk dan isu dengan peralatan yang digunakan untuk kerja-kerja kimpalan bawah air.
“Disebabkan cabaran ini, PBAPP kini menyasarkan penormalan perkhidmatan bekalan air untuk 95 peratus daripada 200,000 pengguna terjejas antara pukul 1 hingga 3 pagi nanti (21 Disember).
” PBAPP memohon maaf di atas segala kesulitan yang berlaku. Walau bagaimanapun, sila ambil perhatian bahawa ini adalah tindak balas kecemasan yang mencabar kepada gangguan bekalan air tidak berjadual yang disebabkan saluran paip pecah 1,350 milimeter yang terletak 3.5 meter di bawah permukaan air,” katanya di sini, malam tadi.
Sehingga pukul 9.45 malam ini, sebahagian besar penduduk di sekitar Daerah Barat Daya masih berdepan gangguan bekalan air sejak malam semalam.
Terdahulu, media melaporkan kira-kira 200,000 pengguna air di daerah Barat Daya dan Seberang Perai berdepan gangguan bekalan air tidak berjadual susulan berlaku kejadian paip sepanjang 1,350 milimeter yang pecah di dasar sungai Sungai Perai. -KOSMO! ONLINE