LONDON – Pengurus Chelsea, Frank Lampard dilihat gugup berdepan duo serangan Tottenham Hotspur, Harry Kane dan Son Heung-min menjelang pertemuan kedua-dua pasukan pada aksi Liga Perdana Inggeris (EPL) di Stamford Bridge awal pagi esok.
Gandingan serasi yang dicipta antara Kane dan Heung-min musim ini menyaksikan skuad bimbingan Jose Mourinho itu menerajui sainga liga dengan 20 mata.
Lampard mengakui Spurs bertuah memiliki gandingan tersebut selain memuji kemampuan serta kematangan yang ditunjukkan Kane dalam tempoh beberapa tahun kebelakangan.
“Dia (Kane) sudah berkembang menjadi seorang pemain yang sangat matang. Saya akui prestasinya ketika ini sangat menakjubkan dan dia berhak untuk berada pada kedudukan sekarang.
“Saya tahu mereka mampu mengancam pintu gol kami pada perlawanan itu nanti, jadi saya mahu semua pemain berjaga-jaga serta jangan lupa mengawasi pemain-pemain lain,” ujar Lampard.
Tambah legenda The Blues itu lagi, beliau tidak kisah sekiranya Kane dan Heung-min mampu meleburkan rekod kombinasi 36 gol EPL yang pernah diciptanya bersama Didier Drogba.
“Saya tidak ada sebarang masalah mengenai rekod tersebut, mereka berhak untuk meleburkannya. Secara jujur, saya mahukan gandingan seperti mereka di sini (Chelsea),” tambah beliau. – AGENSI