KAJANG – Semua pimpinan masyarakat disaran supaya bersama-sama kerajaan memastikan kemiskinan dapat disifarkan.
Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW), Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata, urusan ekonomi terutamanya pengagihan kek ekonomi tidak boleh diserahkan kepada ahli ekonomi semata-mata.
Jelas beliau, pemain sektor ketiga juga perlu aktif terlibat supaya sistem ekonomi berjalan dengan adil dan membantu mengeluarkan rakyat daripada kepompong kemiskinan.
“Saya menyeru semua pimpinan termasuk NGO (pertubuhan bukan kerajaan), NGI (pertubuhan Islam bukan kerajaan), gerakan swadaya, GLC (syarikat berkaitan kerajaan) dan entiti perniagaan sama-sama memobilisasi usaha pastikan kemiskinan benar-benar disifarkan.
“Di bawah KKDW, saya sendiri telah mengusulkan agar gerakan koperasi negara perlu bergerak secara bersepadu menerusi pembentukan gabungan atau federasi untuk meningkatkan ekonomi dan kesejahteraan rakyat,” katanya.
Teks ucapan beliau dibacakan oleh Setiausaha Politiknya, Datuk Razlan Rafii di Perasmian Penutup Kongres Menoktah Kemiskinan: Peranan Sektor Ketiga, di Universiti Tenaga Nasional (Uniten), di sini petang ini.
Beliau yang juga Timbalan Perdana Menteri menjelaskan, matlamat itu boleh dicapai menerusi enam nilai utama konsep Malaysia Madani antaranya pemberdayaan kemanusiaan.
“Kemampanan dalam meningkatkan mutu kehidupan rakyat, daya cipta untuk memperkasakan modal insan, hormat untuk mengurangkan jurang perbezaan antara kelompok dan golongan perlu diterapkan bagi memastikan ia tercapai.
“Selain itu, keyakinan di dalam memastikan urus tadbir dan tatakelola yang beramanah serta kesejahteraan yang ingin dicapai dari sudut ekonomi, sosial antara enam nilai yang perlu dijadikan teras,” ujarnya. – KOSMO! ONLINE