fbpx

Bersedia hadapi banjir sekiranya terima amaran hujan berterusan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar hiasan.

PETALING JAYA – Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) menggalakkan orang ramai agar mengambil langkah-langkah kesiapsiagaan sekiranya kawasan tempat tinggal masing-masing menerima amaran hujan berterusan tahap waspada.

Pengarah Pusat Operasi Cuaca dan Geofizik Nasional MetMalaysia, Maqrun Fadzli Mohd Fahmi berkata, orang ramai perlu melakukan persediaan awal, terutamanya bagi mereka yang tinggal di kawasan yang rendah.

Tambahnya, antara risiko bencana susulan amaran hujan lebat berterusan termasuklah penutupan jalan, banjir dan tanah runtuh.

“Ada sesetengah tempat, saban tahun akan mengalami hujan lebat sehingga dilimpahi air.

“Bagi mereka yang duduk di kawasan sebegini, lebih baik lakukan persediaan awal dari segi keperluan untuk berpindah, simpan dokumen-dokumen serta ubat-ubatan yang diperlukan dan sebagainya.

“Bagaimanapun, semua maklumat-maklumat ini sentiasa dipantau oleh jabatan tertentu,” katanya dalam sebuah sesi temu bual, hari ini.

Tambah Maqrun, terdapat beberapa kategori berbeza yang dikeluarkan oleh MetMalaysia dari segi amaran hujan lebat.

“Pertama ialah amaran ribut petir yang akan dikeluarkan sekiranya kita jangka ada ribut petir yang kebiasaannya tidak berlaku dalam satu tempoh masa yang panjang.

“Tetapi dalam tempoh masa yang pendek, ia boleh membawa hujan yang agak lebat untuk sesetengah kawasan dan berpotensi untuk menjadi banjir kilat,” katanya.

Menurut beliau, amaran kedua pula ialah amaran hujan lebat berterusan yang biasanya dikeluarkan apabila dijangka hujan akan turun di satu-satu tempat dalam tempoh masa yang lama.

“Sebagai contoh, pada pertengahan bulan November hingga awal Januari, ia berpotensi berlaku di negeri-negeri pantai timur Semenanjung disebabkan oleh kesan tiupan angin.

“Apabila berlaku keadaan ini, MetMalaysia akan mengeluarkan amaran hujan lebat berterusan yang kita pecahkan kepada tiga iaitu peringkat waspada (kuning), buruk(jingga) atau bahaya (merah),” katanya.

Tambahnya, semua maklumat berkenaan cuaca akan dikemas kini di laman web www.met.gov.my dan media sosial rasmi MET Malaysia.

Orang ramai juga boleh memuat turun aplikasi myCuaca bagi maklumat yang terkini dan sahih. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI