JAKARTA – Sebuah klip video tular di media sosial Indonesia memaparkan tanah perkuburan di Palopo, wilayah Sulawesi Selatan yang kelihatan seperti deretan rumah teres, lapor laman berita Tribun Jatim kelmarin.
Dalam video tersebut, kawasan perkuburan itu dilihat berada di lokasi berbukit.
Binaannya mempunyai dinding, tiang konkrit dan pagar besi, sama seperti rumah.
Bukan itu sahaja, ia bahkan dilengkapi pelbagai hiasan, daripada seramik hingga kepada pagar besi.
“Ini bukan kawasan perumahan tetapi kubur yang ada di Sulawesi Selatan,” demikian menurut keterangan video tersebut.
Menurut maklumat perakam video, disebabkan saiznya yang besar, sebuah binaan tersebut dapat menampung pengebumian beberapa jasad.
Video tersebut menjadi tular dan menerima pelbagai komen netizen.
“Pasti ia menjadi tempat pengebumian orang kaya,” kata seorang netizen.
“Kawasan perkuburan (etnik) toraja. Mereka rajin memenuhi acara gotong royong, majlis keraian, acara kesyukuran dan pengebumian,” kata pengguna lain. – AGENSI