BEIRUT – Ketegangan antara tentera Israel dan gerakan Hizbollah di selatan Lebanon semakin meruncing dengan kedua-dua pihak menuju ke arah perang berskala penuh, lapor akhbar Daily Express kelmarin.
Menurut jurucakap tentera Israel, Jonathan Conricus, militia Hizbollah melancarkan lebih 1,000 jenis peluru berbeza termasuk roket, peluru berpandu, dron dan mortar ke arah kedudukan askar Rejim Zionis sejak 8 Oktober lalu.
Conricus turut meluahkan kebimbangan tercetusnya perang berskala penuh antara Israel dan Hizbollah, namun menegaskan bahawa Rejim Zionis bersedia untuk menghapuskan ancaman itu menerusi mekanisme tentera.
“Hizbollah yang diketahui merupakan proksi Iran, secara berbahaya telah mengheret Lebanon ke dalam perang yang tidak sepatutnya berlaku.
“Ia berpotensi memberi kesan buruk kepada negara Lebanon dan rakyatnya. Ia adalah perang yang tidak sepatutnya dilalui oleh Israel mahupun Lebanon,” katanya.
Sementara itu, Menteri Pertahanan, Yoav Gallant mengingatkan bahawa sekiranya usaha diplomatik gagal memulihkan keselamatan, Israel tidak akan teragak-agak melancarkan tindakan ketenteraan.
“Sekiranya usaha memulihkan keselamatan di rantau ini (Asia Barat) tidak dapat dilaksanakan secara diplomatik, maka kami akan bertindak,” ujarnya.
Hizbollah yang mengaku bertanggungjawab melancarkan serangan sebagai menyokong rakyat Palestin di Semenanjung Gaza, melakukan serangan terbaharu dan menyasarkan dua artileri sistem Kubah Besi di utara Israel.
Askar Zionis bertindak balas dengan melepaskan bedilan meriam dan serangan jet pejuang terhadap lokasi kumpulan tersebut di selatan Lebanon.
Dalam pada itu, menerusi satu temu bual bersama majalah Newsweek baru-baru ini, Duta Iran ke Amerika Syarikat (AS), Amir Saeid Iravani menegaskan bahawa usaha ketenteraan Israel sangat bergantung kepada sokongan Washington yang tidak berbelah bahagi.
Beliau turut mendesak agar AS menimbang semula sokongannya kepada Israel dan dalam masa sama, meningkatkan amaran mengenai impak perang total di Asia Barat.
“Ketika konflik Gaza berterusan, impaknya ke atas AS turut meningkat secara signifikan,” tegasnya.
Isnin lalu, ahli Parlimen Lebanon yang juga anggota Hizbollah, Ibrahim al-Moussawi berkata, pihaknya sedia maklum mengenai kehadiran tentera AS di rantau tersebut dalam usaha Washington menyokong Israel.
Namun, beliau menegaskan bahawa Washington dan sekutu-sekutu Baratnya sedang berdepan kemerosotan kuasa dan pengaruh di tengah-tengah perang di Gaza.
“Kita sedang mengalami transformasi mendalam dan utama. ‘Topeng’ rejim Barat telah didedahkan dan penduduk dunia juga memiliki kesedaran yang selama ini telah diputarbelitkan.
“Kita melihat berjuta-juta orang memenuhi jalan-jalan di Amerika dan negara-negara Barat untuk mendesak penamatan kezaliman terhadap penduduk Gaza,” tegasnya. – AGENSI