KUALA LUMPUR – Pasukan boccia kebangsaan tiada pilihan untuk menempah tiket Sukan Paralimpik Paris 2024 selain perlu meraih pingat emas pada kejohanan kelayakan di Coimbra, Portugal pada 22 hingga 28 Mac tahun depan.
Presiden Persatuan Boccia Malaysia, Siti Zaharah Abdul Khalid berkata, dia meletakkan harapan cukup tinggi agar pasukan boccia negara tampil cemerlang untuk membawa pulang pingat emas di Portugal sekali gus dapat mengesahkan tempat ke Paris secara merit.
Katanya, syarat kelayakan Paralimpik Paris 2024 yang ditetapkan oleh Persekutuan Sukan Antarabangsa Boccia sedikit mencabar memandangkan kelayakan berpasukan menjadi keutamaan sebelum kelayakan dalam kategori individu diambil kira.
“Kami akan berusaha sebab untuk mendapatkan tempat ke Sukan Paralimpik Paris agak sukar. Mereka pihak persatuan akan melihat kelayakan berpasukan dahulu barulah mereka membuka kelayakan mengikut ranking individu pula selepas itu.
“Nak tak nak kita kena dapatkan pingat emas di Portugal nanti. Sebab dari segi kutipan mata untuk kelayakan terutama individu akan ditutup pada 31 Disember ini.
“Ketika ini hanya pasukan kita lihat ada peluang untuk ke Paris. Jadi, kita akan menghantar seramai lima orang atlet negara ke Portugal dalam acara berpasukan campuran untuk memburu slot ke Paris, Ogos tahun depan.
“Jika skuad negara berjaya membawa pulang pingat emas mereka akan terus ke Paris 2024,” katanya selepas Mesyuarat Jawatankuasa Kerja Sukan (JKK) di MSN, di sini hari ini.
Sebagai rekod, pada temasya Sukan Olimpik Tokyo 2020, skuad boccia kebangsaan membuat penampilan sulung di temasya itu dan Chew Wei Lun berjaya menghadiahkan pingat perak buat kontinjen negara dalam acara individu BC1. -KOSMO! Online