fbpx

Pokok tumbang ragut dua nyawa kerana mereput dari dalam

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Kejadian pokok tumbang yang meragut dua nyawa di Jalan Bukit Belacan, Kampung Lembah Jaya Utara, Ampang Jaya, semalam.

AMPANG – Keadaan pokok yang mereput pada bahagian dalam dipercayai punca berlaku kejadian pokok tumbang sehingga meragut dua nyawa di Jalan Bukit Belacan, Kampung Lembah Jaya Utara, di sini, semalam.

Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ) dalam kenyataan berkata, pokok liar jenis Ficus (pokok ara) yang matang dengan anggaran usia lebih 40 tahun itu sudah diselenggara sejak tahun 2019.

“Kerja-kerja pemangkasan (pollarding) sudah dilaksanakan pada 2019 bagi mengurangkan risiko berlakunya kejadian pokok tumbang.

“Hasil semakan dilakukan didapati pokok itu sudah mereput dari dalam yang tidak dapat dikesan hanya dari rupa luaran pokok,” katanya.

Tambah kenyataan itu, MPAJ melalui Pasukan Tindakan Segera (PANTAS) membuat kawalan lalu lintas dan kerja pembersihan berhampiran Flat Lembah Jaya, Kampung Lembah Jaya Utara.

“Kerja pembersihan itu dilakukan menggunakan jentera sebaik selepas pihak bomba selesai mengeluarkan mangsa.

“Jika orang ramai ada mengenal pasti tanda-tanda pokok berisiko tumbang, mereka boleh menyalurkan aduan kepada https://mpaj.spab.gov.my/eApps/system/index.do atau segera hubungi Skuad PANTAS MPAJ menerusi talian 03-42857333,” katanya.

Semalam, Kosmo! melaporkan seorang penunggang motosikal dan pemandu kereta disahkan maut dalam kejadian pokok tumbang di jalan utama Kampung Lembah Jaya Utara, di sini.

Mangsa yang meninggal ialah pemandu kereta dikenali sebagai Radin Abd Kharim Radin Mamfudz, 64, dan penunggang motosikal Muhammad Hisyammuddin Ahmad Syakif berusia 23 tahun. -KOSMO! ONLINE.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI