SEBERANG PERAI – Pemuda yang dikatakan bertindak terjun dari Kilometer 3.4 Jambatan Pulau Pinang di sini, semalam selepas menetak mati mangsa dipercayai teman wanitanya ditahan reman selama tujuh hari sehingga 26 Disember ini.
Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara, Asisten Komisioner Mohd. Asri Shafie berkata, Mahkamah Majistret Butterworth di sini memerintahkan penahanan reman ke atas suspek berusia 29 tahun itu bermula hari ini.
Menurutnya, siasatan awal mendapati mangsa yang berusia 42 tahun dipercayai mempunyai hubungan kekeluargaan dengan suspek iaitu ibu dan anak saudara.
“Namun, siasatan juga mendapati mangsa juga dikatakan merupakan teman wanita suspek. Bagaimanapun, siasatan lanjut berhubung perkara berkenaan masih dijalankan.
“Setakat ini, motif kejadian belum jelas diperoleh memandangkan suspek belum dapat memberi kerjasama selain hanya mendiamkan diri. Dia (suspek) kini sedang dirawat di hospital,” katanya kepada pemberita di sini, hari ini.
Terdahulu, Kosmo! Online melaporkan seorang pemuda terjatuh dari Kilometer 3.4, Jambatan Pulau Pinang tengah hari semalam selepas menetak mati seorang wanita berusia 42 tahun di Jalan Raja Uda, di sini.
Suspek bagaimanapun diselamatkan nelayan sebelum ditahan anggota Bahagian Jenayah Berat (D9), Ibu Pejabat Polis Kontinjen Pulau Pinang (IPK). – KOSMO! ONLINE