SEREMBAN – Pegawai dan anggota polis dinasihatkan untuk tidak sesekali berlindung di sebalik pakaian seragam yang dipakai, sebaliknya berusaha menjaga sehabis baik imej serta citra pasukan.
Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husin berkata, banyak perkara baik yang telah dilaksanakan oleh pasukan, namun hanya kerana satu isu di Perak menyebabkan imej baik pasukan terhukum teruk.
“Banyak isu-isu yang lebih bagus lagi, pegawai dan anggota PDRM. Saya ingatkan sekali lagi supaya jangan berlindung di sebalik uniform, ataupun di sebalik kuasa, ataupun di sebalik batch (lencana).
“Kita juga tak teragak-agak mengambil tindakan kepada siapa juga pegawai, anggota kita tidak mengira pangkat sekiranya berlakunya kes jenayah, salah laku, tata kelola yang dibuatnya tidak betul… kita akan mengambil tindakan,” katanya sempena Majlis Istiadat Penganugerahan Pingat Jasa Pahlawan Negara (PJPN) Kontinjen Negeri Sembilan Tahun 2023 di D’Tempat Country Club, di sini, hari ini.
Pada majlis berkenaan, seramai 210 orang pegawai, pesara polis dan waris pesara dalam kontinjen Negeri Sembilan dianugerahkan PJPN.
Menjelas lebih lanjut, Razarudin berpesan kepada semua pegawai serta anggota untuk mematuhi peraturan yang telah ditetapkan menerusi Perintah Tetap Ketua Polis Negara (PTKPN) yang sudah diadakan sejak zaman British lagi.
“Untuk makluman, saya juga telah tandatangan tahan kerja pegawai berpangkat DSP itu (kes Seksyen 302 Kanun Keseksaaan) pada petang itu juga,” katanya. – KOSMO! ONLINE